Saturday, December 18, 2010

~ SHARING INFO ~

PENJAGAAN BAYI PRA MATANG

Bayi pramatang (premature babies) adalah bayi yang dilahirkan sebelum 37 minggu kandungan. Ada banyak sebab kenapa perkara ini boleh berlaku, antaranya mungkin gaya hidup ibu sendiri seperti merokok, mengambil makanan yang kurang berkhasiat, tekanan fizikal, pengambilan alkohol, dadah dan pelbagai lagi.

Selain itu, ia juga boleh disebabkan ketidakseimbangan hormon, masalah struktur rahim, penyakit ketika dalam kandungan, umur ibu lebih 35 tahun atau kurang daripada 19 tahun dan pelbagai sebab lain yang tidak diketahui.

Bayi pramatang memerlukan penjagaan lebih daripada bayi lahir cukup bulan. Justeru, kebanyakan bayi pramatang memerlukan penjagaan di unit rawatan rapi (ICU) sebelum pulang ke rumah. Di negara maju, lebih 90 peratus daripada bayi yang beratnya 800 gram ke atas akan terselamat dan bayi yang beratnya lebih daripada 600 gram mempunyai peratusan selamat antara 40 hingga 50 peratus. Bagaimanapun, komplikasi yang lebih ketara mungkin berlaku pada kanak-kanak ini.

Apakan keperluan bayi pramatang?


* Haba atau kepanasan persekitaran yang cukup. Bayi pramatang tidak mempunyai lemak secukupnya untuk memastikan suhu badan kekal walaupun jika bayi itu diselimutkan. Bayi ini perlu berada di dalam inkubator atau alat pemanas sehingga berat bayi cukup untuk mengekalkan suhu badan.

* Pemakanan dan tumbesaran bayi pramatang memerlukan keperluan nutrisi yang lebih tinggi. Ini disebabkan tumbesaran bagi kanak-kanak pramatang secara lazimnya adalah lebih cepat daripada kanak-kanak cukup bulan (catch up growth) lebih-lebih lagi kerana sistem pencernaan makanan adalah tidak efektif seperti kanak-kanak cukup bulan.

Apakah makanan untuk bayi pramatang?


Susu ibu adalah sumber makanan yang paling baik, tetapi bayi hanya boleh menyusu terus atau menggunakan botol selepas 32 minggu. Memulakan pemakanan bagi bayi pramatang perlu dilakukan secara sedikit demi sedikit. Jika tidak ia boleh menyebabkan masalah usus yang berbahaya.

Lazimnya bayi yang belum boleh menyusu, susu ibu perlu dipam dan diberi melalui tiub.

Susu ibu mempunyai khasiat lebih kerana ia mengandungi protein membantu melawan kuman dan mempercepatkan pembesaran. Oleh kerana bayi pramatang mungkin memerlukan lebih banyak kalori dan vitamin, terdapat formula dalam bentuk serbuk yang boleh ditambah dalam susu ibu untuk meninggikan lagi khasiat.

Masalah bayi pramatang


* Jaundis (penyakit kuning)

Masalah yang paling kerap bagi bayi pramatang ialah jaundis. Penyakit ini disebabkan oleh bilirubin yang dihasilkan oleh pemecahan sel darah merah. Bilirubin ini menyebabkan kulit dan selaput mata putih bayi menjadi kuning. Jaundis adalah perkara biasa bagi bayi, tetapi jika tahap jaundis terlalu tinggi ia boleh menyebabkan kerosakan bahagian otak atau kecacatan pendengaran.

* Apnea


Apnea adalah keadaan yang mana bayi berhenti bernafas. Pada masa itu degupan jantung menjadi perlahan sekali gus bayi mungkin kelihatan pucat dan biru. Apnea sering berlaku bagi bayi yang kurang daripada 30 minggu. Jika masalah apnea ini berlaku dengan kerap bayi memerlukan ubat untuk merangsang sistem pernafasannya.

* Anemia (kurang darah)


Kebanyakan bayi pramatang akan mengalami masalah anemia. Ini mungkin menyebabkan bayi tidak membesar dan juga jika tahap anemia itu serius ia boleh menyebabkan kegagalan jantung.

Masalah pernafasan (respiratory distress syndrome)


Masalah ini disebabkan oleh paru-paru yang belum matang dan secara tidak langsung menyebabkan bayi mengalami masalah susah untuk bernafas. Masalah ini agak kerap berlaku.

Begitupun, masalah ini boleh diatasi dengan menggunakan sejenis ubat yang bertindak membuka paru-paru (dikenali sebagai surfactant). Ia membolehkan paru-paru bayi pramatang berfungsi dengan lebih baik.

Jika masalah pernafasan ini terlalu serius, bayi itu mungkin memerlukan bantuan pernafasan melalui mesin pernafasan. Penggunaan surfactant yang dibuat secara sintetik mengurangkan komplikasi masalah pernafasan.

* Jangkitan


Jangkitan adalah masalah yang paling membimbangkan bagi bayi pramatang. Ini disebabkan bayi pramatang tidak dapat melawan penyakit sebaik bayi yang lahir cukup bulan. Jangkitan ini boleh berlaku sebelum bayi lahir, ketika proses melahirkan atau selepas dilahirkan. Cara membasuh tangan yang betul dapat mengatasi masalah jangkitan.

* Patent Ductus Arteriosus(PDA)


Duktus arteriosus adalah salur darah kecil yang menyambungkan salur arteri paru-paru dan salur aorta. Bagi bayi pramatang yang mempunyai masalah PDA; bergantung kepada besarnya PDA itu, dia boleh mengalami masalah kegagalan jantung. Ada ubat-ubatan yang boleh mengecilkan salur darah ini. Begitupun jika ia tidak berjaya masalah PDA ini boleh diselesaikan melalui pembedahan.

* Masalah Retina


Bayi pramatang mempunyai retina yang agak sensitif. Retina bayi pramatang boleh cedera dan ini boleh menyebabkan masalah penglihatan yang serius. Pada masa dahulu masalah ini dikaitkan dengan penggunaan oksigen yang berlebihan. Tetapi kaji selidik yang dijalankan tidak dapat memberi sebab kenapa ia berlaku.

Apa perlu dibuat selepas keluar dari unit rawatan rapi


Bayi pramatang memerlukan penjagaan yang lebih rapi. Rawatan susulan dengan pakar perlu dilakukan dengan kerap untuk menilai perkembangan bayi itu baik dari segi fizikal dan juga perkembangan otak.

0 comments:

Post a Comment

penaja